TAJUK 1
|
PENGUJIAN, PENGUKURAN,
PENTAKSIRAN DAN PENILAIAN
|
SINOPSIS
Topik ini membincangkan definisi istilah
bagi ujian, pengukuran, pentaksiran dan penilaian.Seterusnya membincangkan beberapa tujuan pentaksiran seperti maklum balas,laporan,penempatan, perancangan dan penggredan.
HASIL PEMBELAJARAN
1. Menjelaskan maksud dan konsep bagi ujian, pengukuran,
pentaksiran dan penilaian.
2. Menghuraikan tujuan pentaksiran seperti untuk maklum
balas, pelaporan, penempatan, perancangan serta penggredan.
Kerangka Tajuk-tajuk
Rajah 1.0
Kerangka tajuk
ISI KANDUNGAN
1.0
Pengenalan
Aktiviti
penilaian dalam bidang sains bermula dengan kajian yang dijalankan oleh Galton
dan Binet untuk mengukur kebolehan individu. Konsep penilaian seterusnya
berkembang sehingga muncul beberapa istilah yang berkaitan seperti pengukuran,
penilaian dan pentaksiran.
1.1
Pengujian
Pengujian
bolehlah dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu
dijawab, atau satu set instrument bagi mengukur sampel tingkah laku atau
perubahan seseorang pelajar atau individu. Menurut Cronbach(1970), ujian ialah
satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku
seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor, atau satu
system yang berkategori.Menurut Raminah(1991), ujian adalah suatu cara untuk
mendapatkan contoh perlakuan yang diperlihatkan oleh murid dalam keadaan yang
dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh akan dijadikan dasar untuk membuat
penilaian atau pengadilan.
Proses
pengujian biasanya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti
pelaksanaan/pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan.
Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui tahap pencapaian pelajar
mereka. Oleh itu kecekapan guru untuk membina alat pengujian yang baik sangat
mustahak bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran para pelajar.
1.2
Pengukuran
Pengukuran didefinisikan sebagai suatu
proses untuk mendapatkan penjelasan secara numerik(melalui angka) tentang
sebanyak mana pelajar mempunyai sesuatu ciri yang diukur dengan menggunakan
alat tertentu atau proses menentukan sejauhmana seseorang individu memiliki
ciri-ciri tertentu. Untuk lebih mudah difahami tentang prestasi dan keupayaan
seseorang individu kita menggunakan sesuatu pengukuran berbentuk angka,
misalnya peratus ujian sains adalah untuk menggambarkan prestasi pelajar dalam
subjek tersebut.
1.3
Pentaksiran
Pentaksiran boleh didefinisikan
sebagai proses mendapatkan maklumat dan menggunakannya untuk membuat keputusan
tentang pelajar, kurikulum, program atau dasar. Pentaksiran ialah aktiviti
pelengkap dalam sesuatu pengajaran. Ianya dilaksanakan secara formal atau tidak
formal semasa pengajaran berjalan sama ada secara sedar atau tidak. Aktiviti
pentaksiran bergerak seiring dengan aktiviti pengajaran serta mempunyai tujuan
dan peranan yang tertentu seperti untuk tujuan formatif, sumatif, diagnostik
atau penerokaan.
Mentaksir kebolehan pelajar secara
ujian merupakan satu kemestian dalam pengajaran. Ujian yang dilaksanakan
terdiri dari pelbagai bentuk iaitu objektif dan subjektif. Secara umumnya
pentaksiran membawa maksud yang berbeza daripada penilaian, iaitu skop
pentaksiran lebih luas daripada penilaian. Dalam pentaksiran sudah termasuk
elemen penilaian formal dan tidak formal.
1.4
Penilaian
Penilaian dilakukan dengan pelbagai
matlamat. Ia juga dianggap sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat
tentang sesuatu perkara. Ia seringkali digunakan dalam sebarang kaedah untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi. Justeru ia dianggap sebagai proses membuat
pertimbangan atau keputusan dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga
bagi sesuatu benda atau perkara. Menurut Stufflebeam(1971), penilaian sebagai
proses menerangkan sesuatu secara terperinci melalui mencari dan memberi
maklumat yang berguna dalam mempertimbangkan alternatif-alternatif keputusan.
Menurut Gay(1985), penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul
dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah
ditetapkan itu telah tercapai. Popham(1975) menyatakan penilaian yang
sistematik perlu mempunyai satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena
pendidikan.
Dalam bidang pendidikan penilaian
mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan pembelajaran dan juga hasil sesuatu
program pengajian. Selain data kuantitatif penilaian juga boleh dibuat melalui
data berbentuk kualitatif misalnya melalui pemerhatian atau temubual. Secara
ringkasnya penilaian merangkumi tiga proses utama iaitu, mengukur, menganalisis
ukuran dan menginterpretasikan ukuran.
|
Latihan
|
2. Jelaskan
perbezaan antara pengujian,pengukuran,penilaian dan pentaksiran.
|
2.0
TUJUAN
PENTAKSIRAN
Matlamat utama
pentaksiran yang dilaksanakan adalah untuk memperbaiki proses pengajaran dan
pembelajaran. Ianya sudah tentu akan memberikan manfaat kepada bukan sahaja
guru tetapi juga pelajar, ibu bapa serta pembuat dasar di kementerian
pelajaran. Hasil penilaian yang dijalankan dapat dijadikan asas oleh guru untuk
mengambil sebarang keputusan berkait dengan proses pengajaran demi untuk
meningkatkan keberkesanannya.
Secara umumnya tujuan
pentaksiran atau penilaian yang
dilaksanakan adalah
untuk mendapatkan Maklum balas,membuat
pelaporan, penempatan, merancang aktiviti serta penggredan.
2.1
Maklum balas
Penilaian
yang dilakukan oleh guru dapat memberikan maklum balas kepada guru tentang
tahap penguasaan pelajar terhadap pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar.
Selain itu penilaian juga dapat memberi maklum balas tentang masalah yang
dihadapi oleh pelajar. Guru dapat mengenal pasti kemajuan seseorang pelajar
serta tahap kecerdasan dan kecepatan seseorang pelajar. Seterusnya guru dapat
mengambil tindakan yang bersesuaian bagi menangani sebarang masalah pelajarnya.
Penilaian
yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran dapat menunjukkan
kemajuan pelajar dalam satu jangka masa tertentu. Ianya dapat memberi maklum
balas kepada guru tentang masalah yang dihadapi pelajar seterusnya mengambil
tindakan serta pendekatan yang paling sesuai untuk membantu pelajar.
2.2 Pelaporan
Hasil penilaian yang dilaksanakan oleh guru seharusnya
dikongsi bersama oleh pelajar, ibu bapa serta pihak kementerian. Justeru satu
bentuk pelaporan yang standard perlu disebarkan bagi makluman dan tindakan seterusnya. Laporan yang dihasilkan juga
boleh membantu pelajar menyedari tahap kendiri serta prestasi masing-masing
yang menyumbang kepada motivasi mahu pun tindakan penambahbaikan. Kepada ibu
bapa ianya sangat mustahak bagi mengenalpasti dan maklumat sebenar berkaitan
prestasi anak-anak mereka. Kerjasama ibu bapa di rumah bagi membantu anak-anak
dalam menguasai pengetahuan dan kemahiran sangat membantu pelajar bagi meningkatkan
pencapaian mereka. Kepada pihak PPD, JPN serta kementerian ianya sangat
membantu dalam menggubal atau menambahbaik kurikulum yang sedia ada serta
memperkenalkan pembaharuan di mana-mana yang perlu dalam sistem pendidikan
negara.
2.2
Penempatan
Tujuan penilaian juga adalah untuk memilih dan
menempatkan pelajar mengikut tahap penguasaan dan kemahiran mereka. Ia juga
bertujuan untuk menentukan aliran serta kecenderungan mereka dalam bidang yang
berbeza-beza. Secara lebih khusus guru perlu menempatkan pelajar dalam kumpulan
yang sesuai supaya guru dapat menyesuaikan pula dengan kaedah dan pendekatan
yang diambil semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
2.4
Perancangan
Pentaksiran yang dijalankan juga dapat menggambarkan
tahap penguasaan pelajar dalam isi kandungan serta kemahiran yang dikuasai. Ini
akan membantu guru merancang aktiviti serta mengambil tindakan yang sewajarnya
serta bersesuaian dengan pelajar berkaitan. Perancangan jangka pendek dan
jangka panjang akan membantu guru mencapai target yang ditetapkan atau yang
harus dicapai.
2.5 Penggredan
Penilaian sumatif yang dilaksanakan memerlukan intepretasi yang lebih
terperinci terutamanya bagi menentukan tahap pencapaian pelajar dalam sesuatu
subjek atau kemahiran. Untuk itu pelajar perlu diberi gred bagi memudahkan
pihak ketiga mengenal pasti keupayaan pelajar terutama apabila memilih aliran
atau untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
|
Latihan
|
1.
Bagaimanakah penilaian dapat membantu memperbaiki pengajaran dan
pembelajaran?
2. Mengapakah
penilaian perlu dijalankan dalam bilik darjah?
|
Ringkasan
Pengujian:
Proses/prosedur yang sistematik bagi mengukur pencapaian pelajar yang biasanya
dibuat secara bertulis. Tujuan pengujian ialah untuk menentukan pencapaian
pelajar dalam sesuatu sesi pembelajaran.
Pengukuran:Proses/prosedur
yang sistematik bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar yang boleh dibuat
secara pemerhatian, lisan atau secara bertulis. Tujuan pengujian ialah untuk
menentukan perubahan tingkah laku pelajar, termasuk pencapaian akademik,
penguasaan kemahiran dan sikap pelajar.
Penilaian:
Proses/prosedur yang sistematik bagi
membuat pertimbangan dalam menafsir hasil pengukuran, yang bertujuan untuk
memberi maklumat tentang pencapaian akademik, kemahiran atau sikap.
Pentaksiran:
Proses/prosedur yang sistematik bagi mendapatkan maklumat dan membuat
pertimbangan tentang hasil pembelajaran.
No comments:
Post a Comment