Monday, April 28, 2014

Tajuk 15:Bentuk Peperiksaan_Penilaian Berasaskan Sekolah


TAJUK 15
(BENTUK PEPERIKSAAN:PENILAIAN BERASASKAN SEKOLAH)

SINOPSIS
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah .  Ianya dirancang, ditadbir, diskor dan dilaporkan secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).


HASIL PEMBELAJARAN

1.   Menjelaskan tentang PEKA
2.   Menerangkan aplikasi PEKA dalam bilik darjah
3.   Menghuraikan hasil dapatan kajian berkenaan PEKA Sains dalam penilaian berasaskan sekolah.

Kerangka Tajuk-tajuk









  • KANDUNGAN ISI

15.1 PENGENALAN
Kurikulum Sains Sekolah Rendah bertujuan untuk melahirkan murid yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang sains dan teknologi dan mampu mengaplikasikannya berlandaskan sikap sains dan nilai murni untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah seharian dalam kehidupan. Oleh itu murid perlu mempunyai landasan sains dan teknologi ke arah pembentukan masyarakat yang dinamik, ikram, progresif , bertanggungjawab terhadap alam sekeliling dan pengagumi penciptaan alam.

15.2 APLIKASI DALAM BILIK DARJAH

Penilaian kerja amali (PEKA) dilaksanakan untuk menilai prestasi atau pencapaian pelajar dalam proses sains dan kemahiran manipulatif sains.
Pentaksiran sekolah ialah satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan dalam bentuk formatif yang dijalankan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran atau pentaksiran sumatif di akhir unit pembelajaran, semester atau tahun. Semua guru telah didedahkan maksud pentaksiran sewaktu mengikuti pengajian di maktab. Pada ketika ini, lebih penekanan diberikan terhadap Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Terdapat beberapa pecahan seperti PEKA (Sains), PLBS (B. Melayu dan B. Inggeris) dan PAFA (Pend. Agama Islam).

Peranan yang perlu dimainkan oleh guru dalam pentaksiran sekolah ialah:
·         menjadi pemudahcara dalam proses Pembelajaran.
·         membuat pemerhatian langsung dan tak langsung tentang tingkah laku murid dalam Pembelajaran.
·         mendapat maklumat tentang pembelajaran murid.
·         memberi maklum balas tentang pembelajaran murid.
·         membantu memperbaiki pembelajaran murid berdasarkan maklumat yang diperolehi.
Berkaitan dengan PEKA Sains,  'evidence' untuk eksperimen 'pickling'. Murid-murid menjalankan eksperimen berkumpulan untuk menghasilkan jeruk yang mereka tentukan sendiri buah yang hendak dipilih untuk dijadikan jeruk. Selepas seminggu mereka akan memberikan jeruk tersebut kepada semua guru beserta borang 'komen'. Guru-guru akan meninggalkan komen setelah merasanya. Maka kita dapat menilai hasil kerja murid bersama-sama guru yang lain. Oleh itu saya merasakan penilaian yang dibuat kelak lebih tepat dan tidak 'bias'.
.Sila layari internet dalam dapatkan Buku Panduan PEKA Tahun 3, 4, 5 dan 6


 




Kaedah amali dalam mata pelajaran sains merupakan kaedah pengajaran yang memberi peluang kepada pelajar menjalankan penyiasatan melalui perancangan, pelaksanaan dan perbincangan. Satu kajian telah dijalankan oleh pasukan pengkaji UKM.Tujuan kajian mereka adalah untuk meneroka cara guru mengurus pelajar, bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam amali sains. Kajian yang berbentuk kajian kes ini menggunakan tiga orang guru sains berpengalaman, menggunakan pendekatan kualitatif dengan pengumpulan data melalui pemerhatian guru, temu bual pelajar dan analisis dokumen pelajar. Semua data dianalisis secara manual. Hasil kajian Nurzatulshima Kamarudin, Lilia Halim,Kamisah Osman, dan Subahan Mohd. Meerah,(2009) menunjukkan penglibatan pelajar dalam amali sains adalah tinggi, apabila guru mengurus pelajar mereka dengan membahagi pelajar kepada tiga hingga lima orang sekumpulan serta mengagih tugas. Didapati rondaan dan teguran sepanjang kerja amali berlangsung, pemberian ganjaran positif dan kerjasama pembantu makmal mengawasi pelajar, turut membantu meningkatkan penglibatan pelajar dalam kelas amali. Tegasnya, penglibatan aktif pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran amat membantu dalam penghasilan modal insan yang dilengkapi dengan ciri-ciri kreativiti, kritikal dan inovatif.
Skor diberi mengikut skema skor.

Ø  Dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
Ø  Guru boleh menilai satu kemahiran atau lebih dalam sesuatu masa
Ø  Pelajar boleh dinilai secara individu, kumpulan kecil atau satu kelas.
Ø  Sikap saintifik dan nilai murni boleh dinilai ketika berjalannya penilaian kemahiran
Ø  Penilaian guru , pemarkahan dan laporan skor berasaskan bahan projek pelajar persembahkan.
Ø  Pelajar mesti menghasilkan bukti yang lengkap
Ø  Pelajar -pelajar yang tidak dapat menguasai sesuatu kemahiran boleh mengulangi penilaian tersebut pada masa lain.
Ø  Guru mesti menyediakan tugasan yang secukupnya untuk memastikan semua konstruk dikuasai.
Ø  Pelajar seharusnya diberikan peluang yang mencukupi untuk menguasai semua kemahiran sebelum dinilai.
Ø  Kemahiran-kemahiran yang telah dikuasai oleh pelajar tidak perlu lagi dinilai pada setahun seterusnya kecuali ianya melibat pemikiran tertinggi.
Ø  Penilaian dijalankan sekurang- kurangnya dua kali setahun.

            Perhatian:
Skor maksimum = 50
            Contoh 30 markah untuk SPS  dan 20 markah untuk SMS






15.3     DAPATAN KAJIAN

Pendidikan sains di Malaysia digubal berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan kesepaduan antara ilmu pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai murni (Pusat Perkembangan Kurikulum,1992). Tahap penguasaan guru dalam melaksanakan pentaksiran kerja amali (PEKA) Sains Menengah Rendah telah dilaksanakan oleh Abdul Rahim Hamdan, Saliza Ahmad (2007). Menurut Abdul Rahim (2007), proses pengesanan kurikulum perlu dilakukan untuk mengesan perkara-perkara yang boleh dibaiki dan meningkatkan aspek kualiti kurikulum sedia ada. Matapelajaran Sains adalah di antara matapelajaran yang awal telah dipilih untuk melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah melalui program Pentaksiran Kerja Amali (PEKA) yang melibatkan semua pelajar dari darjah 3,4,5 dan 6 serta Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di peringkat sekolah menengah. Dalam Seminar Kebangsaan penilaian KBSM tahun 1996, beberapa kelemahan dalam pelaksanaan KBSM di sekolah telah dikenalpasti iaitu terlalu menjurus ke arah berorientasikan peperiksaan dan mencadangkan supaya bentuk penilaian dikaji semula dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah diberikan pengiktirafan (Zalina, 1996). Ini adalah selaras dengan strategi yang dilaksanakan bagi mencapai teras membangunkan modal insan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu mengubah penekanan peperiksaan awam daripada berasaskan kandungan kepada kemahiran yang dapat dikuasai oleh pelajar





Berdasarkan dapatan hasil dari kajian-kajian lepas yang telah dilaksanakan khususnya untuk pelaksanaan Pentaksiran Kerja Amali Sains , beberapa jangkaan dapatan dapat dilakukan. Tahap penguasaan guru dalam melaksanakan PEKA Sains PMR dari segi matlamat dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan, dijangkakan tahapnya adalah pada tahap sederhana tinggi. Tahap yang sama juga dijangkakan akan diperolehi bagi tahap sokongan yang diberikan oleh individu berautoriti terhadap pelaksanaan PEKA Sains PMR.  Dari segi perbezaan pula, dijangkakan tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara faktor latar belakang guru iaitu jantina dan pengalaman mengajar serta faktor persekitaran iaitu jenis gred sekolah  terhadap pelaksanaan PEKA Sains .

Akhir sekali dijangkakan masalah dan kekangan yang dihadapi oleh guru-guru Sains PMR adalah sama seperti yang dihadapi oleh guru-guru dalam kajian lepas iaitu antaranya masalah dari segi kaedah penskoran, kemahiran yang terlalu banyak perlu ditaksir, bahan dan alat radas yang tidak mencukupi semasa pelaksanaan PEKA, bebanan tugas-tugas lain yang agak banyak, bilangan pelajar yang terlalu ramai untuk ditaksir, sikap pelajar yang agak negatif terhadap pelaksanaan PEKA serta kekangan masa untuk melaksanakan PEKA.

Maka, keberkesanan pelaksanaan PEKA Sains dalam proses pengajaran dan pembelajaran sangat bergantung kepada  penerimaan dan penguasaan guru. Selain itu pihak ibu bapa juga perlu dilibatkan sama.

Program Pentaksiran Berasaskan Sekolah telah dilaksanakan lebih awal di luar negara. Di Amerika Syarikat contohnya, pentaksiran prestasi telah dilaksanakan oleh guru-guru Sains bagi mentaksir pelajar-pelajar K-12 di kebanyakan sekolah-sekolah. (Shavelson.et.al, 1991). Tujuan pentaksiran ini adalah untuk menilai kemahiran sebenar pelajar semasa melaksanakan eksperimen sains dan bagaimana pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang telah dipelajari untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Strategi pentaksiran prestasi yang dilaksanakan adalah lebih kurang sama seperti pelaksanaan PEKA di Malaysia. 

Di Kanada pula, pentaksiran berasaskan sekolah telah diberi perhatian khusus dan mendapat sokongan melalui penubuhan beberapa program dan modul sebagai panduan kepada guru dan pihak pengurusan sekolah. Nilai (value) yang dianggap termasuk dalam kurikulum tersembunyi (hidden curriculum) dan bukannya dalam kurikulum bertulis (written curriculum) sebelum ini telah diberi penekanannya sehingga pentaksiran ke atas sikap saintifik dan nilai telah diperkenalkan sebagai salah satu elemen yang  dinilai dalam pentaksiran berasaskan sekolah (Saskatchewan Education Report, 1981). Di England, ramai pendidik sains lebih cenderung kepada pentaksiran kerja amali di peringkat sekolah berbanding dengan peperiksaan amali yang berpusatkan ujian pensil kertas. Para pendidik ini berpendapat antara kelebihan melaksanakan pentaksiran berasaskan sekolah adalah guru dapat menyediakan maklumat yang mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan mengenai prestasi amali pelajar dan pelajar juga sentiasa bersedia untuk tugasan secara formatif (Buchan & Jenkins, 1992).

Dalam konteks kajian di Malaysia pula, oleh kerana pelaksanaan PEKA Sains masih baru , maka tidak banyak kajian yang telah dilakukan. Kajian-kajian lepas berkaitan PEKA Sains juga lebih tetumpu kepada pelaksanaan PEKA Sains Tulen bagi mata pelajaran Fizik, Kimia dan Biologi (Tingkatan 4 dan 5). Kajian oleh Siti Aloyah (2002) yang bertujuan untuk menilai implementasi program PEKA Biologi telah dapat mencungkil beberapa cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh guru dan pelajar semasa melaksanakan PEKA Biologi. Dapatan kajian beliau mendapati bahawa walaupun pelajar seronok menjalankan aktiviti-aktiviti PEKA Biologi tetapi mereka kurang pasti tentang kemahiran yang harus mereka kuasai. Guru pula kurang pasti tentang cara membina serta menggunakan rubrik penskoran dan merasakan mereka memerlukan latihan tambahan. Guru juga membangkitkan tentang masa yang tidak mencukupi serta tugas pentaksiran yang terlalu membebankan dan tidak terurus.Guru juga merasakan bahawa sistem sokongan (Lembaga Peperiksaan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak pengurusan sekolah) kurang membantu mereka semasa melaksanakan PEKA Biologi.

Faiza (2002) mendapati masalah yang dihadapi oleh guru adalah skema penskoran yang terlalu rubrik, peralatan makmal yang tidak mencukupi dan pemilihan eksperimen yang sesuai untuk ditaksir. Beliau juga mendapati walaupun pencapaian pelajar dalam PEKA Biologi adalah cemerlang, tetapi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Biologi didapati  adalah tidak selari dengan pencapaian dalam PEKA iaitu boleh dibahagikan kepada  kategori cemerlang, sederhana dan lemah.
Kajian oleh Yeow (2002) pula mendapati sikap guru terhadap PEKA Sains menunjukkan sedikit cenderung ke arah negatif. Majoriti guru (73.2%) menyatakan pelaksanaan PEKA Sains sangat membebankan kerja mereka. 65.9% guru pula tidak berpendapat PEKA Sains lebih baik daripada peperiksaan amali yang telah dilaksanakan sebelum PEKA Sains diperkenalkan, manakala hanya 14.6% guru sahaja yang berpendapat pelaksanaan PEKA adalah satu kejayaan. Masalah utama guru semasa pelaksanaan PEKA adalah masa yang tidak mencukupi, perlu mentaksir bilangan pelajar yang ramai, elemen yang hendak ditaksir terlalu banyak dan pelajar bersikap negatif terhadap PEKA.


Alias (2001) dalam kajiannya mendapati kursus yang berkaitan PEKA yang telah dihadiri masih belum memadai untuk membantu guru memahami sepenuhnya prosedur melaksanakan PEKA. Beliau juga menyatakan faktor yang boleh menjejaskan keberkesanan program PEKA mengikut perspektif guru adalah masa yang tidak mencukupi, kesukaran menentukan skor dengan tepat, bilangan pelajar yang ramai, elemen yang perlu ditaksir terlalu banyak, pemberian skor yang tidak adil, sikap negatif pelajar terhadap PEKA, alat radas dan bahan yang tidak mencukupi.
Sharifah Nor Ashikin ,S.A. Rahman, Rohaida Mohd Saat, (2005) telah menyiasat tentang keberkesanan Pentaksiran Kerja Amali (PEKA) dalam penguasaan kemahiran proses sains bersepadu mendapati bahawa terdapat signifikan antara min ujian pra dan ujian pos. Sejumlah 32 orang pelajar dalam kajian telah berupaya menguasai kemahiran formulasi hipotesis, mendefinisi operasional, mengeksperimen dan intepret data .  
Pada tahun 2008, Kementerian telah melaksanakan pemantauan dan menyediakan laporan pemantauan pentadbiran PEKA SPM.Kekerapan pemantauan yang dilaksanakan adalah sekali.
           
KESIMPULAN
Keberkesanan pelaksanaan PEKA Sains dalam proses pengajaran dan pembelajaran sangat bergantung kepada  penerimaan dan penguasaan guru. Selain itu pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung juga mungkin mempengaruhi keberkesanan pelaksanaan PEKA Sains . Dapatan kajian kelak diharap dapat memberi lebih pemahaman dan menjadi bahan rujukan berkaitan pelaksanaan PEKA Sains kepada guru-guru Sains yang mengajar di peringkat rendah. Selain itu diharapkan lebih bayak kajian dilaksanakan supaya  berupaya memberi idea dan input bukan sahaja kepada guru-guru Sains malah kepada semua pihak yang terlibat dengan pelaksanaan PEKA Sains seperti pentadbir sekolah, Lembaga Peperiksaan Malaysia dan seterusnya Kementerian Pelajaran Malaysia. Dapatan kajian tersebut boleh digunakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk meninjau pencapaian program PEKA Sains di sekolah dengan memberi perhatian khusus kepada aspek penguasaan guru dalam pelaksanaannya. Kajian tersebut juga boleh digunakan untuk merancang kursus dalam perkhidmatan yang diperlukan oleh guru untuk penambahbaikan terhadap pelaksanaan PEKA Sains untuk memastikan matlamat  PEKA Sains tercapai seperti yang diharapkan.
Tahap penguasaan guru yang tinggi dalam melaksanakan PEKA akan mempengaruhi pelaksanaan PEKA secara berkesan dan seterusnya dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja kukuh  dari segi  teori dan konsep Sains malah dapat menguasai kemahiran saintifik serta dapat memupuk amalan sikap saintifik dan nilai murni dalam kehidupan seharian mereka.
Rujukan
 
 


Alias Mingan (2001). Pelaksanaan Pentaksiran Amali Sains Berdasarkan Sekolah Di Beberapa Buah Sekolah Menengah Daerah Hilir Perak.  Disertasi Sarjana Pendidikan, Universiti Malaya.
Faiza Hussein. (2003). Pelaksanaan PEKA Biologi di Kalangan Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Hillcrest, Seri Gombak Selangor Darul Ehsan. Projek Penyelidikan Sarjana Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Tidak diterbitkan  
Nurzatulshima Kamarudin, and Lilia Halim, and Kamisah Osman, and Subahan Mohd. Meerah,(2009) Pengurusan Penglibatan Pelajar dalam Amali Sains. Jurnal Pendidikan (UKM), 34 (1). pp. 205-217. ISSN 01266020

Sharifah Nor Ashikin S.A. Rahman, and Rohaida Mohd Saat, (2005) Keberkesanan Program PEKA dalam Penguasaan Kemahiran Proses Sains Bersepadu. Jurnal Pendidikan, 25 (Malay Language Version) . pp. 65-77. ISSN 0126-5261
Siti Aloyah Alias. (2002)  Penilaian Pelaksanaan Program PEKA Biologi. Projek Penyelidikan Sarjana Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Tidak diterbitkan.
Yeow, Hoo Meng. (2002). Penilaian Guru dan pelajar Terhadap Pentaksiran Kerja Amali Sains Berasaskan Sekolah di Sekolah Menengah di Seremban Negeri Sembilan.   Disertasi Sarjana Pendidikan. Universiti Malaya. Tidak diterbitkan.

No comments:

Post a Comment